Komponen-Komponen Kesenian Dan Kebudayaan

Komponen Kesenian Dan Kebudayaan 
EA 00103 ANGKLUNG
Kursus angklung ini akan memberikan pendedahan, pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar tentang cara muzik angklung dari segi sejarah, peralatan, peranan dan juga persembahan. Pelajar akan diterangkan perkara-perkara asas dalam muzik angklung termasuklah sejarah, definisi, tangga nada, kunci suara nilai-nilai nota dan tanda diam, tanda masa, rentak dan symbol-simbol atau lambing yang digunakan dalam penulisan muzik angklung.

EA 00203 KOIR 
Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan pengetahuan teori dan amali dalam nyanyian koir. Pelajar-pelajar akan diajar sejarah seni vokal serta dasar harmoni berdasarkan gabungan suara soprano, alto/contra alto tenor dan bass.

EA 00303 KOMPANG 
Kursus kompang ini bertujuan memberikan pengetahuan dan memperkenalkan permainan kompang kepada para pelajar. Kursus ini akan menyentuh tentang aspek sejarah dan kepelbagaian teknik permainan termasuklah dalam majlis-majlis tertentu. Pelajar akan diajarkan asas-asas permainan termasuklah teknik pukulan yang betul agar bunyi yang dihasilkan adalah yang padat dan padu. Pelajar akan diuji bermain secara solo dan juga berkumpulan untuk mengetahui tahap penerimaan dan pemahaman pelajar.

EA 00403 LAKONAN TEATER
Kursus ini adalah pengenalan awal kepada pelajar tentang pengertian lakon dan teknik-teknik asas persiapan seorang pelakon pentas. Para pelajar juga akan didedahkan kepada teori lakonan yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh teater barat seperti Stainslavski, Grotowski, Artaud, Boai dan lain-lain. Kursus ini banyak menumpukan kepada aspek latihan di studio.

EA 00503 LUKISAN DAN CATAN 
Kursus ini bertujuan melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif dan dapat menyelesaikan masalah dengan mudah, pelajar dapat meluahkan perasaan melalui visual tampak dengan kajian yang teliti. Pelajar akan diajar unsur senireka, prinsip rekaan dan struktur rekaan. Pelajar didedahkan dengan pelbagai teknik, untuk menghasilkan karya dan dilatih kemahiran melukis, penggunaan alat dan bahan secara berdisiplin. Karya yang disiapkan dipamerkan untuk dinilai.

EA 00603 MUZIK ASLI 
Kursus ini bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan teori serta praktikal kepada pelajar mengenai ensemble muzik asli. Kursus teori meliputi aspek-aspek persejarahan muzik asli tersebut di samping pengklasfikasian alat-alat muzik dalam ensemble tersebut. Pelajar-pelajar akan diberikan nota-nota berserta tayangan audio dan video untuk mengenalpasti peralatan dan tradisi persembahan ensemble muzik asli. Dalam aspek praktikal pula, pelajar diberikan peluang untuk mengenal dan seterusnya belajar untuk memainkan alat-alat muzik di dalam ensemble muzik asli mengikut kemampuan mereka. Pada akhir kursus ini, pelajar diharap dapat menguasai aspek teori/persejarahan muzik asli di samping dapat membuat persembahan

EA 00703 MUZIK MODEN 
Kursus muzik moden ini bertujuan mendedahkan para pelajar dengan irama dan seni muzik. Pelajar akan diajarkan dan diterangkan tentang sejarah perkembangan muzik moden tempatan dan juga pengertian-pengertian muzik seperti tangga nada, kunci suara, dan nilai-nilai nota yang terdapat dalam muzik moden. Pelajar akan berpeluang bermain beberapa alat muzik yang terpilih. Kursus ini juga akan menjelaskan simbol berkaitan dengan notasi muzik moden.

EA 00803 NASYID KONTEMPORER 
Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai seni nasyid moden atau dakwah popular. Kursus ini akan memberi latihan seni vokal yang dikehendaki dalam melahirkan lagu-lagu nasyid dengan iringan muzik.

EA 00903 NASYID TRADISIONAL 
Kursus nasyid tradisional ini adalah bertujuan memberi pengenalan dan pendedahan kepada pelajar tentang seni nasyid tradisional. Pelajar akan diterangkan mengenai bentuk-bentuk irama dan seni yang terdapat dalam nasyid tradisional. Di dalam kursus ini, pelajar juga akan diberi latihan vokal yang bersesuaian dengan irama yang dimainkan beserta dengan iringan irama muzik. Kursus ini akan dijalankan dalam bentuk kelas teori dan juga kelas amali/praktikal.

EA 01003 PENGENALAN KEPADA LAKON LAYAR
Kursus ini mendedahkan para pelajar teknik-teknik secara praktis menggunakan kamera ” camera mannerism” . Pelajar dilatih berlakon di depan kamera iaitu cara mempamerkan mimik muka, keceriaan dan lain-lain. Selain itu, mereka diajar menghafal serta menghayati lakonan tanpa skrip. Di samping itu, pelajar juga dilatih teknik-teknik berlakon di lokasi dan dalam studio di akhir kursus ini.

EA 01103 PENULISAN SKRIP DRAMA
Kursus ini bertujuan mendedahkan pelajar mengenai beberapa asas dalam penghasilan sebuah skrip drama pentas. Pelajar akan didedahkan dengan persediaan yang harus dibuat sebelum memulakan proses penulisan kreatif tersebut. Perbincangan secara ringkas mengenai perbezaan drama dan teater serta bentuk-bentuknya akan dilakukan. Peringkat seterusnya melibatkan perbincangan mengenai elemen-elemen yang harus wujud dalam sebuah skrip dan bagaimana mengembangkan idea-idea yang wujud dan menukarnya kepada sebuah skrip drama pentas. Penganalisaan skrip dan menonton pementasan akan dilakukan dari masa ke semasa sebagai kritikan dan panduan dalam penghasilan sesebuah skrip. Di akhir kursus pelajar akan menghasilkan sebuah skrip drama pentas.

EA 01203 PERANGKAT GAMELAN 
Kursus ini bertujuan memperkenalkan kepada para pelajar mengenai seni muzik Gamelan Melayu. Antara yang akan disentuh ialah aspek pensejarahan, instrumentasi, harmonisasi dan kepelbagaian teknik permainan secara sistematik. Para pelajar juga akan diajar asas-asas teori muzik bagi memperkukuhkan permainan gamelan sambil membaca nota muzik. Repertoir bagi kursus ini meliputi repertoir klasik Terengganu dan Kontemporer. Di akhir kursus, para pelajar akan diuji secara teori dan amali (individu dan berkumpulan)

EA 01303 SENI ARCA 
Kursus ini bertujuan memperkenalkan kepada pelajar mengenai konsep seni arca dan perkembangan seni ini sehingga masa kini. Arca merupakan karya seni tiga dimensi yang dihasilkan melalui beberapa teknik iaitu binaan, ukiran acuan, cantuman dan membentuk. Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk membuat percubaan ekspresif tentang permasalahan bentuk dalam ruang melalui bahan-bahan buangan. Pelajar dilatih bersifat kreatif dan kritis terhadap media/bahan yang ada di persekitaran untuk dijadikan karya tiga dimensi yang menekankan nilai estetik. Kursus ini akan diselenggarakan dalam bentuk teori dan amali.

EA 01403 SENI BATIK 
Kursus ini memperkenalkan kepada pelajar secara teori dan amali semua teknik yang berkaitan dengan seni batik. Pelajar akan diajar asas seni reka khususnya yang berkaitan dengan unsur-unsur seni, prinsip rekaan, struktur rekaan, reka corak, motif dan olahan reka letak dan ‘design’ studio. Pelajar juga dilatih secara amali menghasilkan karya batik tulis yang melibatkan karya melakar, mencanting, mewarna dan seterusnya mempersembahkan hasil karya seni. Karya-karya yang siap dipamerkan untuk dinilai pada akhir semester.

EA 01503 TARIAN ISTANA 
Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai Seni Tari Istana di Malaysia dari sudut sejarah dan juga dari sudut amali. Kursus ini akan menumpukan gerak dasar, pengurusan teknik-teknik asas koordinasi gerak dan rentak serta penguasaan disiplin, sikap dan tata kelakuan penari dalam sesebuah persembahan Seni Tari. Dalam kursus ini tumpuan akan diberikan kepada dua jenis tarian joget Gamelan dan Asyik.

EA 01603 TARIAN RAKYAT 
Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai seni tari rakyat di Malaysia dari sudut sejarah dan juga dari sudut amali. Kursus ini akan menumpukan gerak dasar, penguasaan teknik-teknik asas koordinasi gerak dan rentak serta penguasaan disiplin, sikap dan tata kelakuan penari dalam sesebuah persembahan seni tari. Dalam kursus ini tumpuan akan diberikan kepada tiga jenis tarian iaitu Joget, Inang dan Zapin.

EA 01703 TARIAN SABAH 
Kursus ini akan memperkenalkan kepada para siswa/siswi tentang genre tari yang terdapat di Negeri Sabah dan juga akan membicarakan tentang sejarah dan perkembangannya. Kursus ini juga menumpukan latihan gerak asal tari tradisi, penguasaan teknik gerak dan pengertian gerak yang berkaitan di dalam sesebuah tarian itu. Kursus ini disampaikan dalam bentuk teori dan amali.

EA 01803 SENI KHAT 
Kursus ini dilaksanakan lebih kepada melatih dan mendedahkan kepada pelajar tentang kemahiran dan keindahan seni khat. Pelajar didedahkan dengan sejarah perkembangan penulisan khat. Penekanan akan diberikan kepada empat (4) jenis khat yang terkenal. Bagi memantapkan lagi kemahiran pelajar dalam kursus ini, pelajar akan diajar secara praktikal, bagaimana menulis dan membentuk seni khat dengan baik dengan menggunakan berbagai peralatan yang sesuai untuk mengahasilkan seni khat yang menarik.

EA 01903 TEKNIK REKAAN PENTAS
Kursus ini menjuruskan kepada teknik rekaan dan penghasilan sesebuah pentas untuk persembahan atau pementasan. Antara bidang tumpuan dalam kursus ini ialah teknik pemahaman skrip dari sudut teknikal dan cara mengaplikasikannya ke atas pentas penghasilan model pentas, latihan pengaplikasian model ke pentas sebenar. Matlamat utama kursus ini ialah melahirkan pelajar yang mantap dan sentiasa bersedia menjalankan aktiviti yang memerlukan penyediaan sesebuah pentas untuk sesuatu program.
Blog, Updated at: 22.21

0 komentar :

Poskan Komentar

Popular Posts