Peranan Guru Dalam Pembangunan dan Penerapan Unsur Patriotisme Melalui Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Peranan Guru Dalam Pembangunan dan Penerapan Unsur Patriotisme Melalui Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Pendidikan boleh memainkan peranan yang penting di dalam masyarakat yang berubah. Perubahan masyarakat pula merupakan satu fenomena yang akan dihadapi oleh sesebuah masyarakat. Sebagaimana yang kita ketahui, masyarakat telah mencipta institusi pendidikan bagi memenuhi kehendak-kehandak masyarakat. Oleh itu, pendidikan mempunyai beberapa peranan tertentu dalam masyarakat yang berubah. Menurut Hazil (1990), pada umumnya, pendidikan merupakan satu syarat asas untuk meneruskan serta mengekalkan sesuatu kebudayaan. Maka dengan ini sekolah menjadi salah satu agen sosialisasi dan juga merupakan alat bagi menguatkan kawalan sosial. Dalam konteks kajian ini, norma masyarakat dituju kepada unsur-unsur patriotisme yang telah dibincang.

Penerapan nilai patriotisme yang cuba dipupuk dalam pengajaran perlu membina erti kesetiaan dan pengorbanan yang amat penting dalam penghidupan dan kepada pembinaan negara. Di samping kemajuan kebendaan, kita berharap untuk melahirkan manusia yang dibangunkan dan kaya dengan nilai rohani yang memberi manfaat untuk kesejahteraan diri dan penyayang serta cintakan tanah air (Hussien,

1992). Oleh itu, guru memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan keupayaan dan kebolehan pelajar untuk menaakul, di samping mengembangkan proses kognitif mereka bagi memahami dan menguasai mesej, idea, sentimen dan fakta. Selain itu, guru juga memainkan peranan yang penting untuk menanam dan mengembangkan semangat patriotik melalui pendedahan dan penghayatan. Proses ini akan memberi satu natijah dan pengertian yang mendalam tentang patriotisme (Abd. Rahim, 1989).

Dengan itu, boleh dikatakan bahawa sekolah memproses individu dan pengetahuan. Dalam kursus pengajaran mata pelajaran seperti Sejarah, Sivik, Kesusasteraan dan Bahasa, pelajar disosialisasikan mengikut kehendak kebudayaan politik. Dalam pelajaran Sejarah misalnya, pengajaran Sejarah daripada peringkat rendah hinggalah ke peringkat menengah akan menanamkan semangat dan nilai nasionalisme kepada pelajar-pelajar (Dawson dan Prewitt, 1977).

Dalam memperkatakan tentang peranan guru, Kauchak dan Eggen (1993) berpendapat bahawa murid dapat memproses maklumat melalui pengalaman mereka. Apabila pembelajaran mereka untuk jangka masa yang panjang. Ini bermakna untuk membolehkan penerapan unsur patriotisme dilaksanakan dengan berkesan, aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan perlu dirancang dengan rapi oleh guru dan melibatkan murid secara aktif. Menurut Wan Mokhtar (1995) bahawa dalam usaha menerapkan semangat patriotisme dalam jiwa pelajar, para guru tidak boleh melakukannya sambil lewa, melakukannya atas dasar gaji, tetapi harus bertugas atas dasar keinsafan yang ikhlas serta menghayatinya terlebih dahulu agar mampu untuk membawa pelajar ke arah itu.

Menurut Abd. Rahim (2001), proses sosialisasi nilai pada umumnya membabitkan peranan guru di sekolah. Guru memainkan peranan yang cukup luas dalam mencorakkan perkembangan nilai dalam diri para pelajar. Guru yang berpengaruh dan berkesan menjadi role model kepada pelajar. Dengan ini jelaslah bahawa guru merupakan golongan pelaksana kurikulum yang mempunyai kedudukan dan peranan penting dalam sistem pendidikan formal kerana mereka menjadi teras yang menentukan standard mutu dan keberkesanan sistem pendidikan. Guru Sejarah, khususnya merupakan salah satu daripada komponen teras yang menentukan perkembangan nilai pada generasi akan datang.
Blog, Updated at: 01.11

0 komentar :

Poskan Komentar

Popular Posts