Sejarah Intelektual (Intellectual History)

Sejarah Intelektual (Intellectual History)
Sejarah pemikiran (intellectual history) telah wujud sejak zaman Yunani (Greek) purba lagi. Kajian awal berkaitan tema ini boleh dilihat melalui penulisan Herodotus yang membahaskan kepercayaan agama orang-orang Mesir, dan kajian Thucydides yang cuba membezakan sifat nasional orang-orang Athens dan Sparta. Dengan munculnya agama Kristian, sejarah pemikiran semakin bertambah mantap melalui tafsiran penulis-penulis Kristian tentang sejarah kemanusiaan. 

Penulisan sejarah pemikiran turut dipergiatkan oleh para penulis Islam dengan karya-karya seperti al-Farq bayn al-Firaq oleh al-Baghdadi, al-Milal Wal Nihal oleh Shahrastani, dan Maqalat al-Islamiyyin oleh Abul Hassan al-Ash’ari. Walaupun sejarah pemikiran terus berlangsung sehingga abad ke-18, namun belum lagi wujud sejarah pemikiran dalam erti kata yang sebenarnya. Yang ada hanyalah perkembangan aspek-aspek tertentu dari sejarah pemikiran. Sejarah pemikiran sebagai satu cabang sejarah (subdisiplin) yang berautonomi wujud pada abad ke-19, dipelopori oleh Wilhelm Dilthey di Jerman. Usaha ini dimantapkan lagi oleh seorang penulis Jerman yang lain iaitu Friedrich Meinecke (1862-1954) dengan karyanya Die Entstehung des Historismus.

Jika sejarah politik umpamanya, mengkaji tentang peristiwa politik dan kaitan-kaitannya, maka sejarah intelek pula mengkaji perkembangan sesuatu pemikiran dalam hubungannya dengan konteks atau ruang pada waktu tertentu.

Sebagai salah satu cabang sejarah, ia juga mengkaji tentang masa lalu khususnya tentang pertumbuhan, perkembangan serta penerimaan, penolakan dan pengaruh buah fikiran serta gagasan yang bernas. Gagasan atau idea yang dikemukakan itu mungkin merangkumi pula ilmu-ilmu seperti politik, ekonomi, kemasyarakatan, akhlak, agama dan sebagainya. Dalam hal ini, perkara yang penting bagi pengkaji selain daripada buah-buah fikiran tersebut, ialah kesan serta pengaruh gagasan-gagasan tersebut terhadap masyarakat.

Revolusi Perancis 1789 menjadi bukti bahawa peranan intelektualisme tidak boleh dinafikan. Hal ini diakui oleh Roustan yang menyatakan revolusi berlaku kerana pemikiran kaum ‘Enlightenment’ yang bergerak di dalam masyarakat.

Pergerakan kesedaran (Enlightenment) ini pernah disifatkan sebagai revolusi intelektual dan dikaitkan dengan nama-nama ahli fikir seperti Rene Descartes (1596-1650), Charles de Secondat Montesquieu (1689-1755), Voltaire (1694-1778, Dennis Diderot (1713-1784) dan Rousseau (1712-1778) di Perancis; Joseph Hume (1777-1855), Edward Gibbon (1737-1794), dan Thomas Hobbes (1588-1679) di England; Gothold Ephraim Lessing (1729-1781), Baruch Spinoza (1632-1677), dan Immanuel Kant (1724-1802) di Jerman; Benjamin Franklin (1706-1790) dan Thomas Jefferson (1743-1826) di Amerika dan beberapa orang tokoh lain di Russia dan Itali.

Begitu juga dengan Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979, adalah berkaitan dengan idea kesedaran kesan daripada pemikiran Dr. Ali Shariati yang tersebar secara meluas di kalangan masyarakat sehingga menjadi asas kepada rakyat jelata menerima kepimpinan Ayatollah Khomeini. Satu lagi peristiwa penting yang melibatkan peranan pemikiran ialah kemusnahan Pearl Harbour di tangan Jepun pada tahun 1941. Perancangan yang dibuat oleh Laksamana Isoroku Yamamoto dalam strategi serangan diinspirasikan daripada novel Hector C.

Bywater bertajuk The Great Pacific War. Bywater adalah seorang bekas perisik British yang banyak menulis tentang persoalan angkatan laut sepanjang tahun 1920-1940.

Tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai bentuk pemikiran muncul dalam sejarah sesebuah masyarakat. Kegiatan-kegiatan intelektual itu kadangkala mempengaruhi masyarakatnya, kadangkala terpendam begitu sahaja dan memerlukan suatu masa yang akan datang untuk memahaminya. Hal ini berlaku kerana manusia memberikan rangsangan yang berbeza-beza terhadap apa yang mereka lihat, dengar dan rasai. Dalam hal ini, jika kita kaitkan dengan gagasan Melayu Raya yang menjadi tema kajian penulis, maka kita mendapati perkara yang sama berlaku. Idea ini hanya dapat diterima oleh sebahagian sahaja ahli masyarakat, iaitu di kalangan mereka yang disifatkan sebagai berjiwa radikal dan berpegang kepada politik kiri. Gagasan ini seolah-olah seperti satu idea yang sukar dimengerti oleh masyarakat umum, dan dipercayai sebagai gagasan yang tidak mungkin direalisasikan. Oleh sebab itu hanya nasionalis dan 
golongan tertentu sahaja yang dapat menerimanya sebagai ideologi dan dijadikan prinsip perjuangan.

Selaras dengan peranan sejarah pemikiran mengkaji perkembangan sesuatu pemikiran dalam hubungannya dengan semangat zaman (zeitgeist) tertentu, maka gagasan Melayu Raya yang dilihat oleh penulis akan ditumpukan pada zaman idea tersebut mendominasi pemikiran sesetengah tokoh dan meninjau perkembangan gagasan tersebut terhadap masyarakat.

Permasalahan Nasionalisme
Pensejarahan nasionalisme Melayu telah memperlihatkan jurang perbezaan pendapat yang luas dan kesamaran yang rumit. Hal ini berlaku kerana tiadanya panduan dan penakrifan yang cukup jelas tentang nasionalisme Melayu.

Kesannya, terdapat sesetengah pengkaji yang terlalu banyak bergantung kepada pendapat-pendapat dan tafsiran awal yang bertentangan dengan takrif umum nasionalisme.

Dalam hubungan ini R.I. Rotberg menyatakan bahawa istilah nasionalisme adalah “satu kancah penyalahgunaan” dan telah digunakan untuk “menggambarkan beraneka jenis keadaan, kedudukan manusia dan corak fikiran”. Khoo Kay Kim pula menyatakan nasionalisme merupakan satu istilah yang walaupun telah banyak diberikan takrif, namun masih tetap kabur. Dalam konteks Melayu sebelum merdeka, nasionalisme biasanya digunakan untuk merujuk kepada perjuangan orang Melayu bagi mendapatkan kembali kedudukan unggul dalam negara sendiri.

Menurut Sidek Fadzil, dari sudut pandangan Islam pula, nasionalisme bukan satu persoalan yang sifatnya mudah untuk ditentukan kedudukannya. Tidak semua bentuk nasionalisme dapat diterima oleh Islam dan tidak semua corak nasionalisme ditolak oleh Islam. Nasionalisme itu diterima atau ditolak bergantung kepada erti dan isi nasionalisme yang wujud pada ruang dan waktu yang tertentu. Kedudukan nasionalisme menjadi demikian kerana ketidakmantapan takrifnya dan ketidaksamaan arah tujuannya dari semasa ke semasa dan dari setempat ke setempat.

Dalam usaha untuk mengemukakan takrif nasionalisme yang lebih lengkap dan unggul ini, R. Suntharalingam cuba memaparkan takrif yang diberikan oleh Hans Kohn. Hans Kohn mentakrifkan nasionalisme sebagai “satu keadaan fikiran, yang menyerap masuk ke dalam jiwa sebahagian besar rakyat dan didakwa menyerap masuk ke kalangan semua anggotanya; dia mengiktiraf negara bangsa sebagai bentuk organisasi politik yang unggul, dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan punca kesejahteraan ekonomi. Oleh itu kesetiaan ulung manusia adalah tertumpu kepada bangsanya, kerana kehidupannya sendiri adalah dipercayai berdasarkan kepada dan dimungkinkan oleh kebajikan bangsanya”.

Permasalahan yang ingin ditonjolkan oleh penulis di dalam kajian ini ialah percanggahan pendapat yang timbul di kalangan para sarjana terhadap kewujudan nasionalisme Melayu yang berkait dengan takrifan nasionalisme itu sendiri. Di samping tanggapan kepada takrif yang pelbagai telah membawa kepada penjelasan nasionalisme yang berbeza-beza, menjadi perkara yang amat menarik, untuk mengkaji sebab dan punca kepada pembentukan tafsiran yang sedemikian. Penulis akan cuba menjawab persoalan tersebut dalam bab ini.

Pengelasan berdasarkan takrif ini telah menimbulkan pelbagai pendapat tentang kemunculan nasionalisme Melayu seperti yang ditulis oleh Azmi Ariffin. Terdapat pendapat yang merumuskan kesedaran nasionalisme Melayu muncul pada lewat tahun-tahun 1930-an, 1940-an atau 1950-an. Dalam pada itu, ada pendapat yang menyatakan nasionalisme Melayu muncul lebih awal daripada itu iaitu sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Perbezaan pendapat ini timbul kerana para pengkaji mempunyai dua kecendurangan yang berbeza iaitu berpegang kepada pendapat-pendapat dan pentafsiran awal tentang nasionalisme, atau bersandarkan penjelasan kepada ciri-ciri ‘nasionalisme unggul’. Mereka yang terlalu bergantung kepada pendekatan Barat ini seolah-olah terlupa akan fenomena politik sebenar yang berlaku di Tanah Melayu dan terlalu bergantung dengan konsep-konsep yang diambil dari Eropah.

Barangkali fenomena ini timbul berkait dengan dasar yang telah dirancang oleh penjajah. Dari segi sejarah, ketika bangsa Asia dan Afrika masih terlena, Barat sudahpun selesai membedah psikomental bangsa Asia dan Afrika, sehingga mereka menjadi lebih arif tentang Asia dan Afrika, mengatasi pengetahuan penduduk pribumi terhadap diri mereka sendiri. Mereka menggunakan slogan “Knowledge is Power”. Dengan menerapkan ‘ilmu kolonial’, penjajah berjaya menguasai ‘ruang epistemologi’ seiring dengan penguasaan fizikal negara-negara yang dijajah. Menurut Hans Cohn, ‘ilmu kolonial’ telah dianggap sebagai “the natural embodiments of history, territory and society”. Pembentukan sejarah, wilayah dan masyarakat dalam negara pasca kolonial bukan suatu yang semulajadi tetapi terhasil akibat konstruksi ilmu kolonial tersebut. Kesannya, terbentuk masyarakat kolonial dan pasca kolonial, khususnya pembentukan konsep negara-bangsa dan beberapa kategori serta klasifikasi sosial selainnya. Ilmu kolonial itu dianggap naturalized atau seolah-olah sudah sebati dalam kehidupan masyarakat pasca kolonial.

Hal ini diakui oleh Abdul Rahman Haji Ismail yang menyatakan walaupun penjajahan sudahpun berlalu, namun penjajahan fikiran dan intelektual masih lagi menguasai dan hakikat ini membantu pihak British ‘menegakkan benang basahnya’. Hasil daripada penjajahan fikiran (al-ghazwal al-fikr) inilah yang melahirkan golongan yang terjajah fikirannya (captive-minded) seperti yang disebut oleh Syed Hussein Alatas.

Ilmu kolonial yang terhimpun tidak hanya bersifat suatu koleksi naratif, malah mengandungi analisis sosial yang bersifat akademik dan popular tentang masyarakat pribumi. Para penganalisis ini terdiri daripada pegawai tadbir Inggeris yang terdidik dalam ilmu klasik, pengajian oriental, falsafah dan antropologi. Dengan menggunakan pendekatan evolusi dan orientalisme sebagai kerangka konseptual maka terbina satu korpus tulisan yang menjadi asas dan rujukan para sarjana. Pada akhir abad ke-19, evolusi sosial telah menguasai pemikiran orang-orang Eropah dan hal ini terlihat dalam penulisan Hugh Clifford tentang Tanah Melayu seperti berikut:

Mungkin hanya sebilangan kecil sahaja orang yang menyedari jenis kerja sebenar yang telah ditetapkan untuk dicapai oleh Inggeris di Semenanjung. Apa yang sedang kita cuba ialah untuk mengasakkan dalam masa dua puluh tahun satu revolusi fakta dan pendapat yang begitu bertenaga di Eropah dan selama enam abad diperlukan untuk mencapainya…Orang akan terpaksa bersimpati dengan orang-orang Melayu yang secara mendadak dan kasarnya ditukarkan daripada titik pencapaian dalam pembangunan semulajadi, dan diperlukan memenuhi kehendak-kehendak orang-orang yang telah enam abad terkehadapan dari mereka dalam kemajuan kebangsaan.

Keyakinan kepada evolusi sosial yang bersifat lurus mendatar merupakan satu sebab mengapa tamsilan-tamsilan Eropah dibuat dan diterima tanpa apa-apa halangan. Pemikiran nasionalisme di Asia Tenggara adalah sebahagian daripada rangka penanggapan pelawat-pelawat Eropah yang datang ke Asia Tenggara pada abad ke-19. Melalui satu proses pusingan, tulisan-tulisan mereka menjadi bahan-bahan rujukan untuk penulisan-penulisan kemudian yang menggambarkan Asia Tenggara sebagai sebuah negara-bangsa.

Said Ramadan mengakui bahawa nasionalisme yang berasaskan pendekatan Barat telah melanda negara Islam, dan mendatangkan kesan paling buruk menerusi serangan budaya Barat. Tidak hairanlah jika penjajah berjaya membentuk satu pemahaman di kalangan pengkaji agar menghasilkan penulisan yang berat sebelah dan tidak memihak kepada nasionalisme Melayu. Dalam hal ini, Kassim Ahmad secara keras menuduh mereka yang menulis mengikut pendekatan Barat ini telah menyembunyikan dan memutarbelit fakta-fakta yang seharusnya menjadi asas penulisan mereka. Justeru, beliau menyarankan agar pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh mereka ditolak oleh ahli sejarah.

Amat jelas dalam mengkaji nasionalisme Melayu, metodologi dan pendekatan Barat digunakan. Tidak hairanlah jika ciri-ciri nasionalisme unggul dijadikan sebagai asas dalam menentukan nasionalisme Melayu. Hasilnya nasionalisme Melayu dianggap tidak dominan ataupun dianggap sebagai satu tindakan yang bersifat separa nasionalisme. Malah terdapat sarjana yang menafikan kewujudan nasionalisme Melayu. Barangkali pendapat yang lebih tepat ialah bahawa Barat mahukan satu konsep yang menuju kepada pemahaman dan pembentukan nasionalisme mengikut acuan mereka.

Walaupun kesetiaan kepada tanah air, tradisi pusaka dan penguasa wilayah yang established sebenarnya memang telah wujud di kalangan masyarakat Melayu di sepanjang sejarah, namun terdapat pandangan menafikan gagasan bangsa yang menentukan nasionalisme Melayu telah wujud sebelum tahun-tahun 1930-an. Malah sesetengah sarjana meyakini bahawa nasionalisme Melayu tidak pernah wujud dan mereka mengaitkan kemunculan nasionalisme di Tanah Melayu dengan kemunculan nasionalisme Malayan, yang melibatkan kesedaran dan penyatuan seluruh etnik yang terdapat di Tanah Melayu sewaktu di bawah naungan British. Mereka percaya hanya wujud konsep nasionalisme Malayan di Tanah Melayu iaitu apabila wujudnya kesedaran seluruh bangsa di Tanah Melayu pada tahun 1940-an. Mereka juga tidak merasakan bahawa nasionalisme Melayu itu pernah wujud berasingan dengan nasionalisme Malayan. Pandangan tersebut dipegang oleh pengkaji-pengkaji seperti J.M. Gullick, D.P. Singal, James P. Ongkili, Lennox A. Mills dan para pengkaji Eropah.

Pandangan-pandangan yang bersifat eurosentrik ini dengan jelas bersandar kepada faham yang diambil, ditiru atau diimport dari Eropah. D.P. Singal misalnya, dalam penulisan tentang nasionalisme di Asia Tenggara pada tahun 1967, berkata bahawa nasionalisme dalam konteks negara yang terjajah, matlamat yang sama bukan lagi berasaskan kepada pengalaman masa lampau, tetapi berasaskan realiti masyarakat yang baru yang sama-sama merasai pengalaman semasa berada di bawah penjajahan. Pluvier pula mengakui perkembangan nasionalisme di Asia Tenggara banyak dipengaruhi oleh idea-idea dan konsep-konsep yang diambil dari Barat menerusi penjajahan. Begitu juga dengan Kratoska dan Batson yang berpendapat bahawa perkembangan nasionalisme di Asia Tenggara telah didorong oleh faktor-faktor ‘pembaratan’ seperti perkembangan sistem pendidikan Barat dan dasar-dasar pembaharuan dan pemodenan penjajah.

Dalam hal ini, penulis melihat pemahaman dan pembentukan nasionalisme mengikut acuan Barat merupakan satu perancangan dan diterapkan melalui sistem pendidikan Barat. Bersesuaian dengan pernyataan Lord Macauley ketika memperkenalkan pendidikan Barat, katanya:

“Kita mesti berusaha sedaya upaya yang mungkin bagi mewujudkan dan membentuk satu golongan yang boleh menjadi perantaraan di antara kita dengan jutaan rakyat pribumi yang kita perintah ini; iaitu segolongan manusia yang masih India warna kulit dan darahnya, tetapi sudah dibritishkan perasaan, pemikiran dan juga inteleknya”.

Satu lagi pengakuan yang boleh dijadikan asas nasionalisme merupakan satu perancangan Barat boleh dilihat dalam buku yang ditulis oleh Cromer bertajuk Modern Egypt, 1908, seperti berikut;
”England was prepared to grant political freedom to all her politicians imbued through English educations with the ideals of English culture were ready to take over, but under no circumstances would the British for a single moment tolerate an independent Islamic state”.

Pendekatan Barat seolah-olah mahu menafikan konsep penjajahan yang menjadi pegangan sesetengah penulis dalam menghuraikan perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu, dengan meletakkan peranan penjajah sebagai pencetus dan agen pembentukan nasionalisme di Tanah Melayu, dan sekaligus menekankan tentang peranan bangsa Malayan. Ciri-ciri unggul nasionalisme cuba dipaparkan sebagai suatu yang absolute dalam menentukan kewujudan dan perkembangan nasionalisme. Justeru, bukan bangsa Melayu menjadi penentu kepada kewujudan nasionalisme di Tanah Melayu, tetapi bangsa Malayan yang dianggap bertanggungjawab dalam kebangkitan nasionalisme di Tanah Melayu dan seterusnya berjaya pula membentuk negara-bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Dalam hal ini kebanyakan mereka menjadikan istilah ‘bangsa’ dan ‘negarabangsa’ sebagai fakta penentuan kewujudan nasionalisme di Tanah Melayu.

Smith misalnya, menyatakan istilah Melayu berfungsi sebagai satu nama kolektif bagi satu kumpulan manusia yang mempunyai perasaan kesepaduan yang berteraskan kepercayaan asal-usul, dan diperkuatkan lagi dengan ikatan wilayah, sejarah dan budaya yang dianggap sama. Namun, bangsa Melayu sebagai satu entiti politik, terutama dalam pembentukan negara-bangsa yang berdaulat masih belum nyata. Cheah Boon Kheng pula dalam menjelaskan pembentukan nasionalisme di Tanah Melayu, menyatakan bahawa nasionalisme Malayan telah lahir antara tahun-tahun 1946-48, dan telah berkembang sehingga tercapai kemerdekaan pada tahun 1957, dan kemudian membawa kepada pembentukan Malaysia. Beliau tidak menggunakan nasionalisme Melayu tetapi memakai istilah nasionalisme Malaya dalam menunjukkan kelahiran nasionalisme yang telah membawa kepada pembentukan negara-bangsa di Tanah Melayu.

Revolusi Perancis selalunya dijadikan sebagai titik tolak di antara fenomena  sebelum dan sesudahnya. Melihat nasionalisme mengikut perspektif berikut membuatkan para pengkaji berkecenderungan menganggap nasionalisme sebagai satu fenomena baru. Perspektif inilah yang digunakan oleh Cheah Boon Kheng dalam mentafsir nasionalisme di Tanah Melayu. Sedangkan nasionalisme itu menurut sesetengah pendapat sarjana Barat seperti Gellner misalnya, dianggap bukan semata-mata diwujudkan oleh pemikiran Barat. Beliau berpendapat bahawa nasionalisme terhasil mengikut keadaan misalnya nasionalisme yang timbul kesan pembentukan ekonomi moden. Sarjana-sarjana Barat lain yang menolak nasionalisme sebagai hak mutlak Barat cuba meneliti akar atau dasar nasionalisme itu sendiri dan mendapati bahawa akar tersebut telah lama wujud, iaitu sebelum abad ke-18 dan telah tersebar ke serata dunia. Revolusi Perancis hanyalah satu manifestasi penting kepada nasionalisme yang telah sedia wujud.

Selain Kassim Ahmad, Prof. Zainal Abidin bin Abdul Wahid turut mengakui bahawa nasionalisme Melayu yang bersifat se-Tanah Melayu bukanlah satu gejala baru, tetapi telah muncul sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Sifat setia kepada raja merupakan ciri yang terdapat dalam nasionalisme Melayu pada ketika itu. Dalam hal ini, Abdul Rahman Haji Ismail cuba meleraikan kekusutan dengan menjelaskan konsep gagasan negara-bangsa, kesetiaan negara-bangsa, dan gagasan kedaulatan rakyat. Beliau menjelaskan bahawa gagasan negara-bangsa se-Tanah Melayu telah lama wujud, malah sejak abad ke-15 lagi, dan bukan merupakan kesatuan yang dibentuk oleh penyatuan negeri-negeri Melayu oleh penjajah Inggeris. Istilah ‘Melayu’ dan ‘bangsa’ telah lama digunapakai oleh orang-orang Melayu bagi membezakan bangsa Melayu daripada bangsa asing.

Orang Melayu pada ketika itu telahpun mempunyai pemikiran bahawa mereka adalah satu bangsa dalam erti kata “menganggap Melayu sebagai gagasan sejagat bagi satu keturunan yang menganuti satu kebudayaan induk yang sama”. Hal yang sama diakui oleh Hanapi Dollah, dengan menyatakan kesedaran kenegaraan dan patriotisme serta penyerahan taat setia kepada negara bukanlah sesuatu yang baru. Orang Melayu dalam sejarah politiknya ternyata memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara (kerajaan).

Dalam polemik tentang asal usul nasionalisme Melayu inilah Rustam A. Sani cuba menunjukkan gagasan Melayu Raya yang diperkenalkan oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM) merupakan satu gagasan nasionalisme yang amat jelas.

Konsep negara-bangsa yang dikemukakan itu merupakan konsep yang berasaskan asal-usul kebudayaan yang sama. Cita-cita ini direalisasikan pula dalam bentuk tindakan politik. Bermula dengan Kesatuan Melayu Muda, kemudian terbentuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pertubuhan politik yang sealiran seperti PUTERA-AMCJA, Parti Rakyat Malaya (PRM), Parti Islam Se-Malaya (PAS) dan sebagainya yang berpegang kepada gagasan Melayu Raya.

Kewujudan nasionalisme Melayu Raya ini sebagai gagasan pembentukan negara-bangsa menjadi permasalahan yang ingin diungkap oleh penulis di dalam kajian ini. Konsep Melayu Raya sebagai satu entiti politik bukan sahaja dilihat semasa hayat KMM dan parti-parti aliran kiri selepas itu, namun cuba ditinjau dalam sejarah awalnya pada zaman era politik Jose Rizal, malah lebih awal daripada itu pada zaman Patih Gadjah Mada. Fenomena ini akan cuba dipaparkan oleh penulis pada bab-bab yang berikutnya. Juga amat menarik, penulis ingin melebarkan maksud Abdul Rahman Haji Ismail tentang takrif bangsa mengikut konsep Melayu Raya yang dianggap sangat berguna untuk menampung bilangan orang Melayu yang kecil dalam usaha memastikan negara mereka tidak diambil atau diperintah oleh bangsa asing yang berlainan agama dan berlainan serba-serbinya itu.

Aliran-aliran Nasionalisme
Dalam usaha mengkaji pertumbuhan dan perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu, terdapat pelbagai aliran dan variasi yang muncul kesan daripada dasar perjuangan, hala tuju dan matlamat nasionalisme yang berbeza. Sesetengah pengkaji menggantikan istilah aliran dengan ‘Negara Idaman’ (Nations of Intent). Sidek Fadzil di dalam disertasi Ijazah Doktor Falsafahnya, 1989, cuba memperlihatkan wujudnya aliran nasionalisme Islam dan nasionalisme sekular.

Bertolak daripada pendapat Badiuzzaman Said Nursi, Sidek Fadzil telah membahagikan nasionalisme kepada dua jenis iaitu nasionalisme negatif dan nasionalisme positif.
  1. Nasionalisme negatif ialah racist nationalism yang sama dengan assabiyyah jahiliyyah, nasionalisme yang menjadi pencetus silang sengketa dan permusuhan di kalangan manusia.
  2. Nasionalisme positif merupakan nasionalisme yang dianggap penting dalam kehidupan bermasyarakat kerana ianya adalah merupakan sumber kepada sikap saling bantu-membantu, persefahaman dan perpaduan.
Ianya mewujudkan kekuatan yang bermanfaat dan merupakan satu cara yang berkesan untuk meningkatkan perpaduan Islam. Said Nursi menganjurkan agar konsep nasionalisme positif ini dimanfaatkan sebagai benteng kepada Islam.

Sidek Fadzil juga memaparkan pengkelasan nasionalisme yang dikemukakan oleh Al Imam Hassan al-Banna yang cuba menjelaskan persoalan nasionalisme dengan menggunakan istilah wataniyyah (patriotisme) dan qawmiyyah (nasionalisme). Beliau cuba meletakkan kedua-dua konsep tersebut dalam perspektif Islam. 

Bentuk-bentuk perspektif yang diterima oleh beliau ialah:
  1. Wataniyyatu I-hanin, iaitu semangat cintakan tanah air yang wujud secara fitri.
  2. Wataniyyatu I-hurriyyah wa I-izzah, iaitu rasa tanggungjawab untuk membebaskan tanah air dari kuasa asing serta meletakkan asas-asas kemerdekaan serta kemuliaan rakyat.
  3. Wataniyyatu I-mujtama, iaitu usaha menyatupadukan rakyat sesebuah negara untuk kepentingan bersama.
  4. Wataniyyatu I-Fath, iaitu perjuangan menguasai wilayah dunia dengan membawa perutusan Ilahi.
Dalam melihat nasionalisme yang berbentuk sekular pula, Sidek Fadzil merujuk kepada perjuangan nasionalisme yang menjadi pegangan Sukarno. Dalam gerakan untuk mencari kekuatan bagi menggempur penjajah Belanda di Indonesia, Sukarno cuba menggabungkan tiga aliran fahaman iaitu nasionalisme, Islamisme dan Marxisme (NASAKOM). Fahaman ini tergambar melalui sajak yang ditulis oleh Sukarno di dalam bukunya Sarinah (1947) yang kemudiannya faham tersebut dikenali sebagai Sukarno-isme. Sajak tersebut:

Dalam cita-cita politikku
Aku ini nasionalis
Dalam cita-cita sosialku
Aku ini sosialis
Dalam cita-cita sukmaku
Aku ini sama sekali theis
Sama sekali percaya kepada Tuhan

Sama sekali mengabdi kepada Tuhan Bagi Sukarno, nasionalisme yang dibentuk itu merupakan nasionalisme yang luas, nasionalisme yang memberi ruang kepada rasa cinta kepada bangsabangsa lain juga, nasionalisme ketimuran, nasionalisme Asia dan nasionalisme kemanusiaan sedunia. Justeru, beliau menolak nasionalisme kebaratan yang disifatkan sebagai “suatu nasionalisme yang menyerang-nyerang, suatu nasionalisme yang mengejar keperluannya sendiri, suatu nasionalisme perdagangan yang untung atau rugi”.

Bagi Sidek Fadzil, Sukarno tergolong dalam kelompok nasionalis sekular. Sukarno mengaspirasikan sebuah negara kebangsaan yang wujud dalam sejarah Sriwijaya dan Majapahit. Dalam hal ini beliau telah menolak dengan tegas Islam sebagai dasar partinya dengan alasan kemerdekaan Indonesia bukan hanya diperjuangkan oleh orang Islam. Fahaman yang menjadi pegangan Sukarno ini telah ditolak oleh Haji Agus Salim. Beliau menganggap nasionalisme Sukarno boleh menggugat ajaran tauhid dan menjejaskan pengabdian seseorang kepada Tuhannya. Nasionalisme yang keterlaluan seperti itu dianggap sudah berupa suatu agama yang menunduk dan memperhambakan manusia kepada berhala tanah air.

Berbeza dengan Dr. Burhanuddin al-Helmy, Sidek Fadzil cuba memperlihatkan pegangan politik tokoh Nusantara ini yang berteraskan semangat Islam.

Walaupun Dr. Burhanuddin al-Helmy merupakan pendukung kuat nasionalisme Melayu, namun kebangsaan Melayu yang dipegang oleh beliau hanyalah sebagai alat untuk mencapai cita-cita Islam, sebagai lambang penarik dan menyatukan tenaga bagi mencapai cita-cita mulia dan abadi. Hubungan di antara faham kebangsaan dengan cita-cita perjuangan diibaratkan sebagai dunia dengan akhirat yang mana dunia bukanlah tujuan tetapi “hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat”.

Abdul Rahman Haji Abdullah mengklasifikasikan nasionalisme Melayu kepada dua bentuk berdasarkan kepada tanggapan terhadap pentadbiran kolonial dan sikap terhadap pemerintahan feudal. Di Tanah Melayu khususnya, mereka yang bersikap pro-kolonial dan pro-feudalisme dianggap berpegang kepada faham ‘nasionalisme konservatif’ manakala mereka yang bersikap anti-penjajah dan anti-feudalisme berpegang kepada ‘nasionalisme radikal’. Menurut Firdaus Haji Abdullah di dalam kajiannya tentang politik Melayu radikal, nasionalisme konservatif diwakili oleh para birokrat tradisional yang berpendidikan Barat, manakala nasionalis radikal pula diwakili oleh mereka yang berpendidikan Islam dan vernakular Melayu. Beliau juga menjelaskan bahawa nasionalis konservatif sering mendapat sokongan dan layanan baik daripada pihak penjajah, sedangkan nasionalisme radikal sentiasa ditekan dan diberikan layanan buruk oleh kerajaan British.

UMNO merupakan antara pertubuhan politik awal yang berpegang kepada nasionalisme konservatif. UMNO bukan sahaja mempertahankan tradisi kebangsaan Melayu, malah mengekalkan tradisi kerjasama dengan pihak kolonial. Hubungan baik dan sikap lunak terhadap pentadbiran Inggeris ini memberikan banyak kebaikan kepada UMNO. Keistimewaan paling besar yang diterima oleh UMNO ialah apabila pihak British sanggup mengadakan perbincangan dengan UMNO dan Raja-raja Melayu dalam membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1948, ketika Undang-undang Darurat dilaksanakan, banyak pertubuhan politik diharamkan tetapi UMNO dibenarkan bergerak dan hal ini telah membolehkan UMNO menjadi parti yang dominan dan berjaya pula menguasai Pilihanraya Umum 1955.

Dalam membicarakan nasionalisme radikal, persoalan yang akan timbul dan menjadi subject matter dalam kajian ini ialah konsep ‘Melayu Raya’ atau ‘Indonesia Raya’ yang menjadi pegangan dan cita-cita sebahagian nasionalis Melayu. Perkara inilah yang ingin dikupas oleh penulis. Sesuai dengan cita-cita membentuk satu penyatuan politik sebuah wilayah yang dikenali sebagai Alam Melayu atau Nusantara, maka nasionalisme yang mereka dukung adalah ‘nasionalisme Melayu Raya’ atau ‘nasionalisme Nusantara’ amat dominan di kalangan pemikiran nasionalis sebelum perang dan pasca perang, namun beransur-ansur kabur selepas merdeka.
Blog, Updated at: 00.48

0 komentar :

Poskan Komentar

Popular Posts